Tuesday, September 26, 2006

Perbezaan diantara Qadim dan Muhaddas dalam sudut Usuluddin.

sebelum saya meneruskan dengan penerangan saya, suka saya mengingatkan kita semua bahawa tujuan kita mendalami ilmu Usuluddin ini adalah supaya dapat kita membezakan diantara Qadim dan Muhaddas, supaya tidaklah nanti kita secara sedar atau tidak telah mensyirikkan Allah dengan sesuatu sama ada pada dzat,sifat mahupun pada af'al.

Qadim bermaksud "kekal" iaitu Allah dan Muhaddas pula bermaksud "baharu" iaitu sekalian makhluk.

cara untuk melepaskan diri kita dari mensyirikkan Allah adalah dengan nafi dan isbat pada dzat, sifat dan af'al Allah. kaedah ini dinamakan sebagai kaedah mentauhidkan Allah.
Syirik dan Tauhid adalah dua perkara yang berlawanan diantara satu sama lain.
Oleh itu, hendaklah kita pastikan bahawa kita tetap mentauhidkan Allah kerana sekiranya tidak maka bermakna kita telah mensyirikkan Allah.

hendaklah kita benar-benar fasih akan perbezaan diantara Qadim dan Muhaddas (kaenat) agar dapat kita mentauhidkan Allah. setelah fasih dan masak kita akan perbezaan tersebut, maka dapatlah kita lihat akan fungsi Muhaddas (kaenat). sekiranya kita masih tidak dapat menguasai akan perbezaan ini, dikhuatiri kita tidak dapat memahami dan membezakan iktikad yang menyalahi syarak.

terdapat empat iktikad tentang fungsi kaenat iaitu:

1.sekiranya kita beriktikad bahawa kaenat boleh memberikan bekas dengan tabiatnya(dzat) seperti api boleh membakar, maka para ulama menghukumkan kafir sebab yang boleh memberikan bekas hanyalah Allah semata-mata.

2.sekiranya kita beriktikad kaenat boleh memberi bekas dengan sifat kudrat Allah padanya seperti pada kaenat itu ada daya upaya sendiri untuk melakukan perbuatannya, maka para ulama menghukumkan fasiq dan bidaah. inilah iktikad fahaman Muktazilah. padahal yang berkudrat pada hakikatnya hanya Allah semata-mata.

3.sekiranya kita beriktikad bahawa kaenat tidak memberi bekas dengan kekuatannya sendiri melainkan Allah akan tetapi pada masa yang sama disertai dengan kepercayaan bahawa terdapat hubungan yang lazim diantara sebab pada akal dan pada adat seperti kenyang selepas makan, maka ulama menghukumkan jahil dari sudut adat.

4.sekiranya kita beriktikad kaenat tidak boleh memberikan bekas sama ada pada tabiat atau kekuatannya dan hanya Allah sahaja yang dapat memberikan bekas seperti api tidak dapat membakar nabi Allah Ibrahim a.s. inilah iktikad yang diterima oleh ijmak ulama dan merupakan iktikad oleh ahli sunnah waljama'ah.

setelah dapat kita menetapkan iktikad yang benar untuk kita pegang, maka dapatlah kita menilai semula kesempurnaan syahadah kita dalam ilmu Usuluddin.

2 comments:

fadhilahishak said...

Terima kasih atas ilmu 💜✨✨

Unknown said...

Terimakasih atas ilmunya, sangat bermanfaat.👍

Labels