Friday, October 13, 2006

Perjalanan Israk Mikraj

Rasulullah ketika memasuki syurga dengan diiringi Jibril, melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas di hati manusia.

Sesungguhnya syurga itu ada lapan jenis.

Tiba-tiba Rasulullah ternampak beberapa kubah lu'lu' yang ternganga dan Baginda terlihat pada pintu syurga tertulis ayat berbunyi: "Sedekah itu adalah 10 kali ganda dan memberi hutang itu 18 kali ganda."

Rasulullah hairan mengapakah memberi hutang itu lebih besar daripada bersedekah, lantas Baginda pun bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu.

Kata Jibril: "Orang yang meminta itu kadang-kadang dia sudah pun mempunyai barang itu, sedangkan orang yang berhutang itu tiada mempunyai apa-apa, maka terpaksa berhutang untuk mendapatkannya atau dengan kata lain dia berhutang kerana benar-benar berhajat."

Kemudian Rasulullah berjumpa sebatang sungai susu yang tiada berubah rasanya dan sebatang sungai arak yang lazat dan sebatang sungai madu yang jernih. Di situ ada juga buah delima dan segala macam buah kayu. Kemudian keluar daripadanya pakaian penghuni syurga dan kemudian keluar burung yang bentuknya seperti unta.

Rasulullah terlihat pula telaga Al-Kausar. Dalamnya ada 70,000 fursah yang airnya mengalir di atas batu yakut dan zabarjad. Di tepinya ada lu`lu' yang besar, airnya mengalir masuk ke hudh (kolah) Rasulullah.

Bejananya (timba) seperti bintang di langit dijadikan daripada emas dan perak serta tanahnya daripada kasturi yang amat harum. Kemudian keluarlah Rasulullah dari syurga itu.

Nabi Muhammad kemudian diperlihatkan keadaan neraka. Dalamnya ada ghadaballah (kemarahan Allah) terhadap musuh-Nya dan yang ingkar perintah-Nya. Jika dijatuhkan batu atau besi ke dalam neraka itu, nescaya hancur lebur ia dalamnya.

Tiba-tiba Rasulullah ternampak beberapa kaum memakan bangkai. Bertanya Baginda kepada Jibril: "Siapa ini, wahai Jibril?"

Jawab Jibril: "Inilah mereka yang makan daging saudaranya dengan mengumpat."

Baginda juga dapat melihat malaikat Malik penjaga pintu neraka, lalu ia memberi salam kepada Rasulullah. Rasulullah menjawab salam Malik. Malik ialah malaikat yang boleh diketahui kemarahannya menerusi mukanya yang sangat masam.

Sesungguhnya neraka itu terletak di bawah tujuh petala bumi. Ia mempunyai tujuh jenis, iaitu:

l Neraka Jahannam.

l Neraka Lazha.

l Neraka Khutamah.

l Neraka Saeir.

l Neraka Saqar.

l Neraka Jahim.

l Neraka Hawiyah.

Rasulullah kemudian diangkat ke Sidaratul Muntaha dan ditutupi awan.

Jibril tertinggal, lalu Rasulullah berhenti menunggu. Di sini Jibril pun memasukkan Baginda ke dalam nur sambil berkata: "Engkau dan Tuhan engkau saja."

Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda kepada Jibril bermaksud:

"Adakah di sini sahabat hendak meninggalkan sahabatnya?"

Berkata Jibril: "Inilah saja tempatku, jika aku melintasi kawasan ini nescaya terbakar aku dengan nur."

Rasulullah pun melalui 70,000 hijab daripada nur hingga sampai ke Mustawa, tempat Kalam menulis, yakni Kalam catatan di Luh Mahfuz.


Di situ Rasulullah melihat seorang lelaki yang ghaib dalam Nur Arasy.

Bertanya Rasulullah: "Siapa ini? Adakah malaikat?"

"Tidak," jawab lelaki itu.

"Adakah nabi?" soal Rasulullah lagi.

"Tidak. Sesungguhnya aku seorang lelaki yang hidup di dunia, basah dengan menyebut nama Allah yakni berzikir dan hatiku sentiasa terpaut kepada masjid dan aku juga tidak memaki kedua-dua ibu bapaku."

Labels